Dengan pelbagai kad kredit yang ditawarkan di pasaran, adalah penting untuk anda memilih kad kredit yang memenuhi keperluan anda. Bandingkan kadar, fi dan caj serta ciri-ciri yang ditawarkan oleh setiap pengeluar kad kredit sebelum membuat keputusan.
Berikut adalah beberapa tip dalam memilih kad kredit atau menilai kad kredit yang ada pada anda:
Pengeluar kad kredit mungkin menawarkan anda hadiah promosi seperti telefon bimbit, dompet kulit dan sebagainya untuk mempromosikan kad kredit mereka. Walau bagaimanapun, sebelum memohon, adalah penting untuk anda memahami syarat-syarat yang terkandung di dalam tawaran tersebut. Telitilah syarat-syarat yang ditetapkan untuk hadiah promosi dan denda yang akan dikenakan jika syarat-syarat tersebut tidak dipatuhi.
Kadar caj rendah sementara
Untuk menarik perhatian anda, pengeluar kad kredit mungkin mengenakan yuran dan caj kewangan pada kadar rendah atau memansuhkan caj-caj tersebut sama sekali untuk sesuatu tempoh masa yang tertentu. Risalah promosi mungkin menitikberatkan kadar faedah permulaan yang rendah dengan saiz fon yang besar dan mudah dibaca, kadang-kadang tanpa mempamerkan tarikh luput. Kadar faedah selepas tamat tempoh promosi pula tidak dinyatakan dengan begitu jelas, iaitu dengan menggunakan saiz fon yang kecil dan mungkin hanya tercatat di sebelah belakang borang permohonan atau di muka surat terakhir risalah promosi yang mengandungi banyak muka surat.
Anda perlu memahami syarat-syarat promosi dan menyedari bila tempoh promosi akan tamat kerana anda mungkin dikenakan caj seperti biasa atau pada kadar yang jauh lebih tinggi setelah tempoh tersebut berakhir.
Caj kewangan dan yuran
Pengeluar kad yang berlainan akan mengenakan fi yang berbeza untuk kemudahan pendahuluan wang tunai, kebiasaanya antara 3% ke 5% daripada jumlah yang dikeluarkan dan caj kewangan (maksimum sebanyak 18% daripada jumlah yang dikeluarkan). Sentiasa pilih kad kredit yang mengenakan fi yang lebih rendah serta pastikan anda memahami terma dan syarat yang dikenakan untuk skim pemindahan baki yang ditawarkan sebelum menggunakannya.
Post a Comment